Tuesday, October 5, 2010

PERAYAAN PERAYAAN DI MALAYSIA








HARI RAYA AIDILADHA






Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji  merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah  setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.


Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.


Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.


Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.


Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.


Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.


Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.


Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka. 
 




DEEPAVALI


Merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.


Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.


Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali..






TARIKH TARIKH DALAM PELBAGAI KALENDAR










Kanak-kanak menyalakan pelita api dalam bentuk swastika sehari sebelum perayaan Deepavali disambut.




Perayaan ini disambut selama tempoh yang berbeza oleh komuniti berbeza. Walaupun hari-hari terasnya adalah sama dan jatuh pada hari-hari yang sama di seluruh Nepal dan India, namun hari-hari tersebut jatuh pada bulan-bulan Gregorian yang berbeza bergantung kepada versi kalendar Hindu yang digunakan dalam setempat. Versi Amanta ("tamat pada anak bulan") kalendar Hindu diamalkan sebagai kalendar kebangsaan India. Mengikut kalendar ini yang luas digunakan di India selatan dan Maharashtra, keraian enam hari ini dibawa dari empat hari terakhir bulan Ashwayuja (Ashwin dalam bahasa Marathi) dan dua hari pertama bulan baru Kartika. Menurut versi Purnimanta ("tamat pada bulan purnama") yang meluas di India utara, Diwali jatuh pada pertengahan bulan Ashwayuja/Ashvin. Dalam kalendar Gregorian, Deepavali biasanya tiba pada bulan Oktober atau November.


KEPENTINGAN AGAMA HINDU


Perayaan ini menandakan kemenangan kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan, serta penanggalan kegelapan rohani. Secara simbolik, Deepavali menandakan kembalinya semangat muhibah dan kepercayaan setelah lama menyepi, seperti yang diceritakan dalam Ramayana.


Perkataan Sanskrit "Deepavali" bermaksud satu pameran pelita-pelita yang menandakan kemenangan cahaya ke atas kegelapan. Oleh sebab pengetahuan bahasa Sanskrit merosot, nama perayaan ini sering diubah menjadi Divali, terutamanya di India utara.


Pada hari Deepavali, ramai yang memakai pakaian baru, berkongsi gula-gula dan makanan ringan. Beberapa komuniti niaga India utara memulakan tahun kewangan pada hari Divali, maka buku akaun baru akan dibuka pada hari ini..


SAMBUTAN DEEPAVALI DI MALAYSIA


Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upucara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.


Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.


"Kolam" merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya


TAHUN BARU CINA.




SEJARAH TAHUN BARU CINA


Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.


Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.


Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.


Perayaan yang bersamaan dengan  permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut..


MALAM TAHUN BARU CINA
Pada malam Tahun Baru , kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi  turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.     


 Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua,  malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan tahun baru bermula.


Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.


CAP GOH MEI




Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.          


Perayaan tersebut jatuh pada malam 15 hari bulan, bulan pertama Imlek China. Hari itu juga disebut "Pesta Lampu", kerana lampu-lampu dinyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan itu.


Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa memasang lampu-lampu pada Hari Capgome? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Maharaja pada ketika itu, maharaja Liu Heng berjaya mematahkan gerakan penderhakaan. Hari itu kebetulan 15 hari bulan bulan pertama Imlek Cina. Untuk merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk lampu dipasang di tepi-tepi jalan pada hari itu. Adat istiadat tersebut diamalkan sehingga kini.


Lampu-lampu tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.


Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.


Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang..






Tarian Singa lagi memeriahkan perayaan


PESTA KAAMATAN

TADAU KAAMATAN


 Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.


Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.


Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.


Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut.


Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.


ASAL USUL MAGAVAU




Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ia tetap membawa maksud yang sama.


Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".


Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.




HARI GAWAI




KETIKA  mula-mula ana sampai kat bumi kenyalang ni dulu bila tengok slogan ni “Gayu Guru Gerai Nyamai” ingatkan slogan atau tema hari guru ditulis dalam bahasa Iban ke, melanau ke, bidayuk ke… Sebab ada perkataan “guru” dalam slogan tu. Ternyata sangkaan ana meleset. Rupa-rupanya itu adalah ucapan untuk sambutan hari gawai buat kaum Iban dan Bidayuh di Sarawak.

Hari ini (Isnin) bertarikh 1 hb Jun 2009 adalah merupakan salah satu hari keramaian di Sarawak sehingga diberikan public holiday di Bumi Kenyalang ini iaitu sambutan pesta gawai. Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi.

Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak ‘arak beras’, dan bersuka-ria.

Menurut perbualan ana dengan kawan yang berbangsa Iban, biasanya sebelum perayaan gawai disambut, pertandingan keling dan kuman gawai yang diadakan setiap tahun sebagai salah satu persediaan untuk menyambut dan meraikan perayaan gawai tersebut. Selain itu, pelbagai jenis upacara juga dilakukan. Antaranya adalah seperti berikut:
                               
                    * Muai Antu Rua (to cast away the spirit of greed)

                    * gendang rayah (ritual music)

                    * miring (offering ceremony)

                    * Ngalu Petara (welcoming the spirit gods)

                    * drink the Ai Pengayu (normally tuak for long life)

Manakala apa yang menarik ketika sambutan pesta gawai ini ialah pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.

Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar ‘ranyai’ atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak.

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka. Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.

Selain itu, dari segi sejarahnya pula ialah semasa pemerintahan British, mereka enggan mengiktiraf perayaan ini sehinggalah tahun 1962. Pada waktu berikut, perayaan Gawai Dayak ini disambut pada 25 September.

Ia pertama kali disambut pada bulan Jun pada tarikh 1 Jun 1965 dan menjadi satu simbol perpaduan, aspirasi dan harapan untuk masyarakat Dayak. Hari ini, ia adalah satu bahagian penting kehidupan sosial Kaunm Dayak. Ia adalah satu tanda hari kesyukuran tuaian yang baik dan satu masa untuk merancang untuk musim pertanian baru atau aktiviti-aktiviti yang dirancang pada masa hadapan.

Itulah sedikit sebanyak cerita pasal hari gawai yang diceritakan oleh kawan ana yang berbangsa Iban. Dengan ini ana mengambil kesempatan untuk mengucapkan “Selamat Hari Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai” kepada rakan-rakan yang berbangsa Iban dan Bidayuh di bumi Kenyalang ini.







KRISMAS

Hari Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal, adalah perayaan terbesar untuk penganut agama Kristian, disambut setiap tahun pada tarikh25 Disember bagi memperingati kelahiran Jesus dari Nazareth, pengasas ajaran Kristian. Menurut Kitab Bible Perjanjian Baru, Jesus dilahirkan oleh Maria (Virgin Mary) di Jurusalem. Penganut Kristian mempercayai bahawa kelahiran Jesus ini menepati ramalan-ramalan agama Yahudi mengenai kedatangan seorang penyelamat (Messiah) dari susur galur Raja David, yang kedatangannya adalah untuk menebus manusia dari dosa-dosa Adam (original sin).

Perayaan Krismas pada lazimnya dirayakan setiap 25 Disember. Namun beberapa gereja (Gereja Ortodoks, Gereja Koptik dan gereja-gereja Timur yang lain) dan negara (Mesir (Egypt), Habsyah (Etiophia), Rusia dan sebagainya) menyambutnya pada 7 Januari disebabkan mengikuti kalender yang berlainan (kalender Julius berbanding kalender Gregory).

Adat resam moden perayaan ini termasuk pemberian hadiah, sambutan keagamaan di gereja, dan peragaan pelbagai hiasan, termasuk pokok Krismas, lampu hiasan, daun mistletoe, holi atau lakonan semula kelahiran Jesus (Anunciation). Santa Claus adalah merupakan tokoh mitos terkenal yang sering dikaitkan dengan adat memberi hadiah sempena Hari Krismas. Santa dipercayai merupakah hasil gabungan St. Nicholas dari Myra dan unsur-unsur Mitologi Nordic dengan mitologi Kristian, sementara penampilan modennya dipercayai hanya timbul pada abad ke-19.

Hari Krismas bukan sahaja disambut oleh penganut Kristian, bahkan juga oleh ramai orang yang bukan penganut agama ini sebagai salah satu perayaan kebudayaan yang berunsur sekular (keduniaan). Oleh kerana pemberian hadiah dan beberapa aspek lain perayaan ini melibatkan peningkatan kegiatan ekonomi antara orang Kristian dan bukan Kristian, maka Hari Krismas menjadi peristiwa utama bagi kebanyakan penggiat sektor peruncitan.


SAMBUTAN
Hari Krismas disambut sebagai perayaan utama dan cuti umum di kebanyakan negara di dunia, termasuk yang majoriti penduduknya bukan penganut Kristian. Krismas disambut di negara bukan Kristian kerana diperkenalkan oleh bekas penjajah, diduduki oleh kelompok minoriti Kristian atau menerima pengaruh budaya asing.



Walaupun kebanyakan negara menyambut Krismas pada 25 Disember setiap tahun, namun sesetengah gereja di Rusia, Georgia, Mesir, Armenia, Ukraine dan Serbia menyambutnya pada 7 Januari kerana mengikut kalendar Julius yang tarikh 25 Disembernya jatuh pada 7 Januari dalam kalendar Gregory.

Di seluruh dunia, sambutan Krismas dirai dalam pelbagai bentuk, dicerminkan oleh kepelbagaian budaya dan tradisi sesebuah negara. Negara-negara yang hangat menyambut Krismas walaupun bilangan penduduk Kristian yang kecil seperti Jepun, telah menerima kebanyakan aspek-aspek sekular dalam sambutan Krismas seperti bertukar hadiah, hiasan lampu dan pokok Krismas.


TRADISI GEREJA

Sambutan Hari Krismas sangat penting bagi gereja, iaitu sewaktu untuk mengadakan upacara atau majlis sambutan istimewa. Berikut ialah cara-cara Krismas disambut di gereja.


PAPARAN KELAHIRAN JESUS
Kebanyakan gereja mengamalkan adat memaparkan babak kelahiran Jesus. Dimulai oleh St. Francis dari Asissi pada abad ke-13, tradisi yang berasal dari Itali ini diperluaskan ke banyak negara lain.

Babak kelahiran ini dipaparkan dalam bentuk patung sebesar saiz manusia, ataupun sekecil kotak mancis, diperbuat dari pelbagai bahan termasuk kayu, tembikar, kertas, kain, jerami, dan logam yang berwarna-warni.


PEMBACAAN
Pada hari Krismas, diadakan sesi pembacaan kitab yang menceritakan kisah kelahiran Jesus yang terkandung di dalam kitab Bible, di samping bacaan-bacaan suci lain yang mengisahkan tentang bahaya kerakusan hawa nafsu manusia, dan mengenai datangnya Penyelamat (Messiah) yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa manusia.


KAROL
Kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin, kebanyakannya melibatkan nyanyian atau bacaan suci Bible oleh koir dan juga para penganut yang taat.


SAMBUTAN AWAM DAN KOMERSIAL

Kawasan sekitar bandaraya sentiasa dihias indah untuk menyambut Krismas, termasuk menggantung sepanduk, panji-panji dan lampu berwarna-warni pada dinding bangunan, tiang-tiang lampu, dan pokok-pokok di sekeliling bangunan. Banyak juga bandaraya besar yang meletakkan sepohon pokok Krismas di tempat-tempat awam, seperti di Trafalgar Square di London, Times Square di New York dan Martin Place di Sydney. Tidak lupa juga kegiatan amal untuk menyeru warga kota agar menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Waktu perniagaan kedai dan pusat beli-belah dilanjutkan sebelum hari Krismas agar orang ramai diberi lebih banyak masa bagi membeli juadah makanan dan hadiah-hadiah Krismas. Tingkap kedai sentiasa dihias babak kelahiran Jesus, termasuk di gedung membeli-belah besar yang mampu menyediakan babak animasi untuk menghiburkan kanak-kanak. Gedung beli-belah besar juga menyediakan seorang pelakon watak Santa Claus yang duduk di atas singgahsana untuk mendengar permintaan kanak-kanak pada hari Krismas, di samping diambil gambar bersama para pengunjung.Perarakan, hiburan jalanan dan konsert Krismas juga diadakan di bandar raya. Sesetengah pekan mengadakan tradisi nyanyian karol oleh kumpulan koir dan persembahan penghibur ternama di dewan perbandaran atau di kawasan luar bangunan.


SAMBUTAN SEISI KELUARGA
Krismas merupakan hari untuk bersantai bersama sanak saudara yang tinggal berjauhan, bertemu semula untuk bertukar-tukar hadiah, berkongsi kebahagiaan hidup dan untuk bersuka ria. Ada juga yang menyertai perarakan menyanyikan karol dari rumah ke rumah. Seperti juga gereja dan tempat awam, rumah kediaman juga wajib dihiasi indah sempena sambutan Krismas, dengan gantungan rimbunan daun kehijauan pada dinding-dinding, pohon Krismas di ruang tamu dan gantungan stoking merah besar pada tempat pendiaman.







HARI THAIPUSAM





Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'.

Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.

Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.

Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.

Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Di Malaysia, pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.

Perayaan Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.













HARI WESAK




Hari Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha. Penganut Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras". Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia.

Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.

   1. Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
      Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
   2. Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
   3. Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.





HARI KUIH BULAN


Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi).

Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.


Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.



Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol. 











RUJUKAN :


a) http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&              id=5745:sambutan-tahun-baru-cina&catid=322:kebudayaan-di-malaysia


b) http://ms.wikipedia.org/wiki/Laman_Utama


















































































No comments:

Post a Comment